Monday 25 April 2011

Rumah Lama Di Jurong




15 tahun yang lalu, saya pernah tinggal di kawasan Taman Jurong. Rumah saya berdekatan dengan blok-blok sewa yang kini sudah dirobohkan dan sudah dinaikkan blok yang baru. Entah betul atau tidak, ramai orang kata, di blok sewa demikian terdapat ramai orang memelihara benda-benda ni. Ada yang buang benda peliharaanya dan biarkan benda yang pernah dipeliharanya itu berkeliaran tanpa tuan. Wallahu'alam, betul atau tidak, saya kurang pasti.


Rumah dua tingkat yang pernah saya tinggal di kawasan itu cuma dapat bertahan tinggal di sana genap lima tahun. Selepas itu, ayah jual rumah itu, kerana terlalu angker. Rumah saya terletak di tingkat akhir iaitu di tingkat 6. Jadi yang di tingkat 7 itu merupakan bilik-bilik tidur. Di atas tingkat 7 terletaknya tangki air di bumbung blok. Kirakan penghabisan rumah dua tingkat. Macam-macam yang kedengaran di situ. Siapa yang pernah tidur di rumah saya, yang sering saya dengar mereka kata yang mereka ternampak kelibat orang di waktu malam. Di tangga, di stor juga pun ada. Malah adik perempuan saya pun pernah berbual dengan benda itu. Kadangkala, terdengar dia ketawa sendiri, bual sendiri. Bila ditanya, jawapannya sedang berbual dengan "temannya". Bila ibu cakap, "Suruhlah “teman” balik nanti 'maknya' marah." Adik pun akan beritahu “temannya” "ibunya" suruh balik. Bila bertanya dengan adik si "teman" balik keluar dari arah mana? Dengan selamba dia jawab, “Dia keluar situ...” Nak tahu di mana? Tingkap balkoni kita yang berhadapan dengan Tasik Jurong.


Berbalik pula pada cerita saya. Saya ingat lagi, hari saya bertengkar dengan kakak saya. Saya cakap saya nak tidur dengan menghidupkan alat penghawa dingin, kakak pula bantah, “Alah, asyik alat penghawa dingin aje. Kita tidur hidupkan kipas anginlah, buka tingkap lagi bagus! Hirup udara nyaman...” Saya pun mengalah dan ikut saja kata kakak saya. Malam itu, hujan gerimis serta tiupan angin yang dingin semacam. Saya dan kakak saya sudahpun nyenyak tidur. Tiba-tiba saya tersedar kerana saya terdengar bunyi seperti ada orang yang seolah-olah sedang memanggil saya. “Psst! Psst!” Saya pun ternampak di hujung sudut yang terletaknya kipas, saya ternampak kakak saya sedang berdiri di tepi kipas dan menunduk ke bawah sahaja. Saya mula bersuara, “Oi kak! Kau diri sebelah kipas buat apa? Dah malam2 gini pegi tidurlah... Gila eh?” Saya pun tutup mata dan hendak sambung tidur semula tetapi bila kakak saya tak menjawab dan berdiam diri sahaja, saya mula rasa musykil, saya pun dah rasa tak sedap.


Tiba-tiba bulu roma saya mula meremang. Tapi saya cuba tak endahkan perasaan takut saya. Bila saya mahu tukar posisi tidur saya, saya pusing ke sebelah kiri. Saya nampak kakak saya di sebelah kiri saya sedang nyenyak tidur. Saya pun cakap dalam hati, "Kalau kakak ada di sebelah aku, habis siapa yang berdiri dekat kipas tu?” Saat itu, hanya Allah saja yang tahu perasaan saya. Mulut saya berkumat-kamit baca Ayat Kursi tapi macam terkunci gitu. Tak terkeluar pun suara saya membaca Ayat Kursi. Bila saya alihkan pandangan saya perlahan-lahan ke arah kipas tu, saya ternampak benda tu mula merangkak ke arah saya. Apa yang saya boleh buat cuma tutup muka saya. Tapi di celah-celah jari saya masih boleh nampak benda itu merangkak perlahan-lahan mendekati saya. Sehingga benda itu menghampiri saya di hujung kaki, saya masih terpaku. Pekik nama kakak berkali kali pun dia tak dengar. Seram sangat! Saya cuba kejut kakak saya tapi tak bangun-bangun pula.


Bila dah berkali saya tak dapat kejut, saya paksa diri saya pekik, “Allahu Akbar!” Mendengar laungan saya, benda itu terus terbang keliling siling di dalam bilik saya sebanyak tiga kali dan keluar melalui tingkap. Selepas itu barulah kakak sedar bila dia dengar saya nangis terisak-isak. Saya rasa macam nak pecah tekak saya memekik memanggil kakak. Dia cakap dia tak dengar pun saya memekik-mekik memanggil namanya. Sehingga hari ini, saya takkan dapat lupakan pengalaman ngeri ini

No comments:

Post a Comment