Monday 25 April 2011

Please Find My Bike..




Kisah ini berlaku pada tahun ini, kira-kira sebulan yang lepas di Jurong West Street 41. Saya gemar berlari-lari anak di waktu malam, terutama sekali selepas jam 2 pagi kerana waktu itulah cuacanya begitu nyaman sekali, itupun kalau kesihatan saya mengizinkan. Tapi semenjak saya ditugaskan bekerja malam, saya tidak dapat melakukannya lagi, kecuali kalau saya tidak bekerja, yang selalunya jatuh pada setiap hari Ahad.

Pada satu malam, sewaktu saya tidak bertugas, saya tergerak hati hendak pergi berlari. Tapi kali ini saya mengambil keputusan untuk bermula lebih siang sedikit dan ingin menggunakan laluan yang lain. Saya pun keluar dari rumah sekitar jam 11.30 malam dan terus menuju ke kolong blok untuk membuat senaman memanaskan badan. Selalunya saya hanya menggunakan taman rekreasi yang terdapat berdekatan dengan estet perumahan saya untuk bersenam, tapi kali ini saya teringin pulak mencuba untuk berlari dengan mengelilingi laluan jalanraya yang saya sebutkan tadi.

Sewaktu saya berlari, tiba-tiba ada sesuatu yang menangkap perhatian saya. Di seberang jalan, saya ternampak seperti ada seseorang sedang duduk di lantai, di tepi jalanraya itu. Saya ini tidak mempunyai visi mata yang jelas, tapi dari sinaran lampu yang samar-samar, yang terpancar dari perhentian bas yang berdekatan, saya semacam dapat melihat orang itu seperti terduduk, memeluk kedua-dua kakinya dan kepalanya tersembunyi di celah-celah kakinya. Saya hanya tertanya diri sendiri, "Kenapa pula si dia ini nak lepak di situ eh? Kalau nak lepak pun pergilah bawah blok? Agaknya dia mabuk tak?” Saya tidak memikirkan apa-apa masa itu, niat di hati hanya ingin mengetahui apa yang terjadi, lalu saya pun melintasi jalanraya untuk mendapatkan penglihatan yang lebih jelas.

Apabila saya mendekatinya, saya dapat melihat yang orang itu masih memakai topi keledar. Saya cuba lihat sekeliling tetapi tiada kenderaan lain yang kelihatan, memerhatikan lebih dekat lagi, saya ternampak jelas dari tengkuk belakangnya, ada darah mengalir tidak henti-henti dari dalam topi keledar. Pakaiannya pula koyak di merata bahagian dan luka-lukanya begitu ketara sekali. Dalam hati saya berkata, “Memang sah dia ini kemalangan.” Oleh kerana saya tidak pasti akan bangsa orang itu, saya bertanya dalam bahasa Inggeris, “Sir, are you ok? You hang in there, I will call the ambulance straightaway ok!” Saya sebenarnya tidak membawa telefon bimbit saya, jadi saya ingatkan hendak menuju ke blok yang berdekatan untuk membuat panggilan kecemasan.

Baru sahaja saya ingin mengambil langkah setapak, orang itu pun dengan nada suara yang perlahan dan garau, berkata, “I just want to find my bike, please help me...” Entah mengapa, saya terus melihat ke arah belakang kami yang dikelilingi dengan tanah lapang dan sebuah parit yang menuju ke sebuah longkang yang besar. Saya tertanya diri sendiri, "Takkanlah motor dia terhumban ke dalam tanah lapang ini eh?” Sekali lagi dia menyuruh saya mencari motornya dengan suara yang begitu mendalam, “Please find my bike...” dan saya menjawab, "Sir you seriously need medical attention, let me get help first. Why don’t you lie down and rest? Here, let me help you...”

Baru saja saya ingin menolongnya supaya berbaring, tiba-tiba ada seorang budak Melayu datang menegur saya, “Abang... Abang buat apa ini?” Saya pun bangun dan berkata, ”Takde, budak ni... Aku rasa dia kemalangan motor. Abang sebenarnya nak telefon ambulans, tapi dia mati-mati suruh aku cari motor dia lah!” Dengan wajah yang terperanjat dan nada suara yang seperti ketakutan, budak Melayu itu bertanya, "Abang... Abang berbual pasal budak mana ni bang? Yang ada cuma kita dua orang aje di sini. Mana ada orang lain bang???” Saya menyampuk, “Eh kau ni buta ke apa??? Kan budak ni ada kat belakang aa....” Saya tidak dapat menghabiskan kata-kata saya, kerana apabila saya menoleh ke belakang saya, alangkah terperanjatnya saya, “budak” yang cedera tadi sudah hilang!! Budak Melayu itu pun bersuara, "Abang jom kita cabut dari tempat ni. Meremang pulak bulu roma saya. Abang ikut saya cepat...”

Dengan perasaan terperanjat dan juga ketakutan, saya mengikutinya ke sebuah blok berhampiran. Budak itu berkata..”Saya tadi pelik tengok abang ni asyik tengok kat lantai aje, ingatkan abang ni hilang barang ke apa, sebab itu saya datang kat abang tadi...” Dia meneruskan ceritanya, “Saya tinggal daerah sini dah lama jugak bang... Tak tahulah bang tapi nak katakan, saya pernah juga dengar cerita pasal tempat itu...” Entah kenapa, saya tak dengarkan sangat apa yang budak itu ceritakan kerana fikiran saya masih terbayang-bayang akan apa yang telah terjadi. Oleh kerana hati saya rasa tak sedap, saya batalkan niat saya untuk berlari dan terus pulang ke rumah. Yang saya asyik tertanya, "Kenapa budak itu ingin sangat mencari motornya?"

No comments:

Post a Comment